Tuesday, October 23, 2007


4 – DIPILIH JADI KETUA FIRQAH


Madrasah Ehya Ul Falah pada waktu itu mempunyai dua aliran sekolah . Iaitu sekolah agama aliran Bahasa Melayu ( Kelas Khas Agama ) dan aliran Bahasa Arab ( yang mempunyai peringkat ibtida’ dan rabi’ thanawi ). Kedua-dua aliran sekolah ini mempunyai pentadbiran berbeza dan diketuai oleh dua orang mudirnya ( guru besar ). Bahkan, bangunan sekolahnya juga seolah-olah dibahagi dua untuk murid belajar !. ( Bahagian kanan bangunan sekolah, dari blok bangunan hadapan dan belakang diduduki oleh murid-murid aliran agama Bahasa Melayu dan di bahagian kiri pula diduduki oleh murid-murid aliran Bahasa Arab..


Sekolah agama aliran Bahasa Melayu mudirnya Ustaz Haji Sobari bin Othman manakala mudir aliran Bahasa Arab ialah Ustaz Haji Arshad Subky bin Haji Saman. Ustaz Haji Sobari tinggal di rumah guru berhampiran bangunan sekolah dan Ustaz Haji Arshad Subky berulang alik setiap hari dengan kenderaan motorsikal hitam jenis Honda 90cc ke rumah beliau di Kampong Parit (5) Timur, Sungai Besar.


Pada waktu itu, semua murid dari kedua-dua aliran ini bergaul mesra setiap hari pada waktu rehat di kanten dan juga semasa diadakan kerja gotong royong sekolah pada hari cuti. Semasa perbarisan setiap pagi juga mereka berada dalam satu kawasan lapang di tengah-tengah bangunan sekolah yang berbentuk empat persegi. Cuma sekadar mereka berbaris berasingan, mengikut kelas masing-masing. Aliran Bahasa Melayu pada bahagian kanan dan pada bahagian kiri murid aliran Bahasa Arab.


Seperti sekolah-sekolah yang lain, murid yang belajar di Madrasah Ehya Ul Falah juga mempunyai ketua-ketua darjah dan ketua-ketua murid lainnya, di samping terdapat seorang ‘ Ketua Umum ‘ dan jawatan ‘ Penolong Ketua Umum ‘ yang dilihat seolah-olah mempunyai kuasa ke atas semua murid sama ada aliran Bahasa Melayu atau aliran Bahasa Arab. Pemilihan Ketua Umum ini dilakukan dalam mesyuarat bersama yang diadakan oleh kalangan murid kedua-dua aliran tersebut.


Selain itu , setiap aliran sekolah mempunyai aktiviti ( kokurikulum ) yang dinamakan ‘ Majlis Latihan ‘ . Diadakan pada setiap minggu dan dikelolakan oleh kalangan murid sendiri. Kalau tidak salah ingatan saya, ia diadakan pada setiap hari Rabu selepas waktu rehat hingga waktu tamat persekolahan. Acara dalam Majlis Latihan itu termasuklah bacaan Quran, bacaan rawi , nasyid, deklamasi sajak. bersyair, syarahan atau pidato , termasuk juga membaca cerpen.


Sebagai acara kemuncak kepada Majlis Latihan ini, pada setiap hujung tahun turut diadakan acara ‘ ihtifal ‘ ( Pertandingan Kecemerlangan ) secara besar-besaran dan dilakukan berasingan antara dua aliran sekolah. Biasanya ihtifal diadakan pada waktu malam hari di padang halaman sekolah dan turut sama disertai acara pertandingnnya oleh wakil dari sekolah-sekolah agama lain yang dijemput khas !.


Bagi menjayakan Majlis Latihan diadakan pada tiap minggu, semua murid bagi kedua-dua aliran sekolah ini dibahagi mengikut ‘ firqah ‘ masing-masing. Meliputi murid dari darjah paling bawah hingga darjah paling tinggi.


Semasa diadakan pembahagian firqah bagi murid Kelas Khas Agama, saya telah dipilih sebagai ketua firqah ( nama firqah saya dah lupa !…. ) . Selain saya turut dipilih beberapa orang rakan lama sebagai ahli jawatankuasa dalam firkah yang sama. Sebagai ketua, saya diberikan tugas menyediakan peserta-peserta dalam semua acara semasa Majlis Latihan diadakan dan juga untuk ‘ melatih ‘ mereka !.


Saya kurang pasti, kenapa saya dipilih sebagai ketua firqah semasa mesyuarat murid diadakan. Padahal saya adalah murid baru di sekolah itu dan ada ramai rakan-rakan lama saya di Kelas Khas Tahun (2) yang sebaya. Mungkinkah kerana mereka tahu latar belakang saya semasa bersekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6) , pernah memegang jawatan ketua firqah dan pernah menang dalam berbagai pertandingan ihtifal di sekolah lain dan sempena Minggu Bahasa Kebangsaan peringkat Daerah Sabak Bernam, menjadi ukuran mereka ?. Wallahu ‘alam…..


Oleh kerana saya telah dipilih sebagai ketua firqah, maka pergaulan saya dengan murid lain dalam firqah sama dengan murid lelaki atau perempuan terpaksalah ‘ ligat ‘ sedikit dan tidak boleh bersikap pemalu seperti masa lalu. Kini saya dibelenggu sekali lagi oleh perasaan takut selain terpaksa buat ‘ muka tebal ‘ apabila bercakap dengan peserta firqah saya dari kalangan murid perempuan yang perlukan tunjuk ajar !......


Oleh kerana segala-galanya sudah terpaksa, saya cuba tabahkan hati dan ikhlaskan niat kerana menunaikan tanggungjawab dan amanah diberikan !. Semasa menjalankan tugas itu, barulah saya kenal kepada Siti binti Mat Wali ( rakan sekelas yang kemudiannya jadi isteri kepada guru saya, Ustaz Khojali bin Haji Abd.Hamid ) dan juga Asiah binti Idris ( anak Tuan Nazir Sekolah Agama Daerah Sabak Bernam yang sekarang menjadi isteri kepada Cikgu Haji Satari bin Sadak . Mereka suami isteri menetap di rumah sendiri di kawasan Pekan Sungai Besar ) dan beberapa orang lagi kalangan murid perempuan dalam kelas yang sama sepeti Suriah binti Abd.Razak, Jasimah binti Samsuri, Salbiah binti Sidek, Salbiah binti Mansor ( sudah meninggal ) dan murid-murid kelas-kelas lain.


Lantaran tugas diamanahkan itu juga rupa-rupanya dengan tidak secara langsung telah mengubah sikap dan tabiat saya yang amat pemalu ketika bercakap dengan murid perempuan dan sering merasa rendah diri dengan kebolehan dan kemampuan orang lain kepada sikap berani dan bertanggungjawab . ( Saya sering memberitahu kepada murid-murid sebagai motivasi mereka - semasa bertugas sebagai guru dahulu - bagaimana saya boleh berjaya dalam kehidupan hari ini kerana mempunyai sikap tabah dan keazaman yang kuat, di samping mengetahui ‘ kekuatan ‘ sedia ada pada diri sendiri sebagai memulakan perjuangan seterusnya… )





3 – DAPAT KENALAN BARU.


Pada hari-hari minggu pertama bersekolah di Madrasah Ehya Ul Falah, perasan saya boleh dikatakan tidak tenteram dan selalu tertekan . Umpamanya, pada waktu rehat saya terpaksa hanya duduk berseorangan dalam kelas sahaja. Kawan-kawan lain semua keluar ke kanten yang berada di tepi bangunan sekolah. Saya terpaksa bertindak demikian kerana tidak biasa dengan keadaan berebut-rebut membeli makanan di kanten kepunyaan oleh Pak Lang Sanip.


Semasa belajar di kelas saya lebih gemar duduk ‘ membatu ‘ saja . Bercakap hanya ketika menjawab soalan pelajaran diajukan guru. Sepanjang tempuh itu saya dibelengggu oleh perasaan rendah diri cukup membimbangkan . Lantaran hanya saya seorang sahaja lebih tua dari segi umur, berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang hanya baru berusia dalam lingkungan 15 hingga 16 tahun sahaja. Tambahan pula, sudah banyak pelajaran tertinggal akibat masuk belajar tidak bermula dari hari awal persekolahan dibuka .


Suasana belajar dan pergaulan di kelas amat berbeza sekali dengan suasana semasa bersekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6) dahulu. Di sana, murid lelaki dan perempuan tidak pernah bercakap antara satu sama lain di dalam kelas atau waktu rehat. Manakala di sini saya lihat murid lelaki dan murid perempuan seperti sudah biasa bercakap-cakap semasa waktu rehat atau dalam kelas. Dan kadangkala ejek mengejek !.


Saya memang termasuk dalam golongan orang yang amat pemalu, terutama dengan kalangan perempuan sejak dahulu. Mungkin suasana pergaulan semasa bersekolah Melayu / Kebangsaan dahulu menyebabkan saya bersikap demikian, di samping keadaan masyarakat kampong memang tidak menggalakkan lelaki dan perempuan berbual-bual. Akibat sikap demikian , saya sentiasa menjadi tumpuan pandangan murid perempuan dalam kelas, terutama apabila menjawab soalan pelajaran dari guru….


Guru yang mengajar di kelas saya bergilir-gilir mengikut mata pelajaran yang mereka ajar. Saya hanya lebih selesa belajar apabila Ustaz Haji Sobari masuk mengajar. Mungkin kerana beliaulah kalangan guru di situ yang saya kenali lebih awal dan beliau nampak simpati serta memahami keadaan saya. Manakala guru-guru yang lain pula mereka seperti ‘ tidak indah ‘ sahaja. Mungkin mereka tahu saya murid baru di situ dan juga memahami banyak pelajaran saya sudah ketinggalan berbanding murid lain. Jadi, tidak perlu disoal semasa mereka masuk mengajar.


Namun pada minggu-minggu berikutnya beberapa orang rakan sekelas dari kalangan lelaki sudah mula saya kenali mereka. Salah seorang di antaranya ialah Mastor bin Md. Yusof . Beliau berbadan besar dan tegap serta kelihatan hampir hampir sebaya dengan saya – Kalau tidak salah ingatan saya, beliau adalah ketua kelas pada waktu itu - Namun di kalangan murid perempuan saya masih ‘ buta ‘ terhadap mereka semuanya !.....


Mastor boleh dianggap kawan baru yang sesuai dengan saya. Kami selalu pergi ke kanten bersama atau berjalan-jalan sekitar kawasan sekolah sebelum masuk belajar. Beliau sekarang menetap di Felda Sungai Tengi, Tanjong Malim. Dan saya sering berjumpa dengannya di sana. Selain pernah bertugas sebagai Guru Agama Fardhu Ain di Sekolah Rendah Agama Felda Sungai Tengi, beliau sekarang memegang jawatan nazir masjid di situ.


Mungkin kerana faktor umur lebih tua dari kawan-kawan sekelas, kepahaman saya terhadap pelajaran yang diajar oleh guru ketika itu adalah lebih baik berbanding mereka. Kerana itu, makin ramai kawan sekelas mula rapat dengan saya untuk bertanyakan pelajaran yang kurang dipahami. Ini menjadikan saya seperti murid ‘ penting ‘ di kalangan mereka selain pergaulan saya dengan mereka semakin mesra.


Keadan kebelakangan ini jelas menyebabkan saya sudah berjaya mengatasi perasaan rendah diri selama ini. Rakan-rakan lama yang berada dalam Kelas Khas Agama Tahun (2) juga sudah ‘ berani ‘ saya dekati semula….


Dan apabila saya berjaya mendapat nombor satu dalam kelas semasa peperiksaan penggal pertama tahun itu ( waktu itu peperiksaan ada tiga penggal dalam setahun ), perasaan rendah diri saya terhadap rakan-rakan sekelas dan yang lainnya boleh dikatakan beransur-ansur hilang . Saya juga sudah dapat menyesuaikan diri di kalangan murid perempuan sekelas yang memerlukan bantuan memahami pelajaran diajar oleh guru setiap hari. Namun saya masih tidak berani berbual dengan mereka seperti rakan lelaki yang lain !.



Monday, October 22, 2007


2. DAFTAR MASUK SEKOLAH


Suatu petang pada bulan Januari 1963, saya telah bersua dengan Ustaz Mas’od bin Haji Jaafar di kedai Taukeh Yaakob Parit (9) . Beliau tinggal di Kampong Parit 8 ½ Timur , Sungai Besar. Beliau juga adalah bekas guru sekolah agama rakyat semasa saya mula-mula bersekolah agama di kampong ( Alhamdulillah, beliau tetap sihat hingga sekarang walaupun usianya hampir mencapai 80 tahun dan masih bertenaga menunggang basikal dari rumahnya pergi ke Pekan Sungai Besar sejauh hampir 16 kilometer pergi balik – Kebetulan pula beliau memang tidak tahu ( berani ? ) menunggang motorsikal ! ).


Beliau bertanya , apa kerja saya lakukan selepas tamat sekolah rendah agama di Madrasah Ubudiah Parit (6) Sungai Besar . Terus terang saya katakan kepada beliau , kerja saya selain turut bersawah padi menolong ibu bapa, saya juga bekerja mengambil upah membuat parit, membuang lumpur parit, membersihkan kebun kelapa dan kebun getah di Estet Torkington dan juga Estet Air Manis Sabak Bernam termasuk ikut serta kerja ‘ membangsal ‘ ( kerja mengambil upah serta bermalam di tempat kerja tersebut ).


Beliau kemudian memberitahu saya dan mencadangkan supaya menyambung pelajaran agama di Madrasah Ehya Ul Falah, Sungai Besar. Kerana usia saya masih muda lagi - dalam lingkungan awal 18 tahun . Kata beliau, ilmu agama lebih penting berbanding dengan harta benda. Kerana apabila sudah dewasa serta mempunyai keluarga nanti mungkin sukar untuk belajar lagi; seperti mana contoh diri beliau sendiri yang bekerja sawah padi di kampong sekarang ( beliau pernah belajar di sekolah pondok semasa bujangnya ).


Saya jelaskan kepada beliau, saya ‘ tergendala ‘ dari menyambung pelajaran Kelas Khas Agama di Madrasah Ehya Ul Falah pada tahun 1962 lalu lantaran tidak mempunyai sijil beranak. Walhal pendaftaran sekolah pada waktu itu memerlukannya.


Ustaz Mas’od mencadangkan kepada saya supaya pergi berjumpa dengan mudir ( guru besar ) dahulu sama ada boleh mendaftar sekoah tanpa sijil beranak seperti ditetapkan dengan secepat mungkin. Beliau juga mendoakan saya moga-moga berjaya menyambung pelajaran di situ dan berjaya dalam pekerjaan suatu hari nanti !.


Untuk pengetahuan anda, saya tamat darjah lima aliran agama di Madrasah Ubudiah Parit (6) Sungai Besar pada tahun 1962 dan sepatutnya boleh meneruskan pelajaran di Kelas Khas Agama di Madrasah Ehya Ul Falah seperti rakan-rakan sekelas yang lain . Oleh kerana halangan seperti dinyatakan , saya terpaksa mengambil keputusan tidak menyambung pelajaran dan bekerja mengambil upah di estet ketika di luar musim bersawah padi, bersama seorang rakan karib sekampong, Amir Husin bin Hamzah ( beliau sudah meninggal beberapa tahun lalu di Alor Star, Kedah tidak lama selepas pencen sebagai Juru Teknik JKR bandar itu ).


Berikutan nasihat diberi oleh Ustaz Mas’od yang saya anggap begitu ikhlas , saya memberikan pengakuan untuk ‘ mencuba ‘ menyambung pelajaran di Madrasah Ehya Ul Falah, Sungai Besar dalam Kelas Khas Agama Tahun (1).


Salah seorang rakan saya semasa bersekolah Melayu / Kebangsaan di Parit (9) masa dahulu dan beliau belajar di Madrasah Ehya Ul Falah ialah Ahmad Ismail bin Haji Kornain yang tinggal di Parit (8) Timur. Beliau saya temui dan menyatakan hasrat untuk mendaftar masuk sekolah. Beliau amat bersetuju dan bersedia menemankan saya berjumpa dengan mudir Kelas Khas Agama waktu itu, Ustaz Haji Sobari bin Haji Othman ( beliau sudah meninggal dunia ).


Pada hari dijanjikan, saya ditemani Ahmad Ismail dan Ishak bin Ahmad ( rakan sekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6) dahulu ) serta seorang rakan lain ( saya lupa siapa dia ) berjumpa dengan mudir di rumah beliau yang berada bersebelahan bangunan sekolah.


Waktu itu, saya bukanlah seorang yang pandai berkomunikasi apatah lagi dengan orang yang tidak pernah dikenali. Kerana itu, sebagai ‘ pembuka kata ‘ dengan Ustaz Haji Sobari, terpaksalah Ahmad Ismail dan Ishak menyatakan tujuan saya datang.


Apabila kedua orang kawan selesai menyatakan tujuan kedatangan saya , Ustaz Haji Sobari yang kelihatan warak dan lemah lembut orangnya, beliau bertanya beberapa perkara kepada saya seperti surat berhenti sekolah, sijil beranak dan juga kenapa saya tidak terus menyambung pelajaran selepas tamat darjah lima tahun lalu. Pertanyaan beliau saya berikan jawapan secara terus terang di samping memohon ‘ belas kasihan ‘ beliau menerima saya belajar di sekolahnya.


Al hamdulillah, permohonan saya diterima dan beliau memberitahu pada hari esuk bolehlah mula datang ke sekolah !.....( Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau kerana baik budinya kepada saya waktu itu . .Amin ya rabbal ‘alamin ! )


Apabila kembali ke rumah, saya memberitahu kedua ibu bapa bahawa saya akan bersekolah di Madrasah Ehya Ul Falah pada hari esuk. Kedua ibu bapa saya turut merestui. Namu beliau memberitahu, semua perbelanjaan sekolah nanti kenalah saya tanggung sendiri ! ( Kedua orang tua saya bukanlah golongan berada pada waktu itu. Tambahan pula saya memang ada mempunyai sedikit simpanan wang hasil dari kerja-kerja mengambil upah di estet )


Semalaman saya tidak dapat tidur lena menunggu ketibaan esuk pagi…. Kerana saya akan pergi ke sekolah yang belum pernah masuk ke dalam bangunannya, bertemu dengan guru-guru yang juga tidak pernah saya kenali selain suasana pergaulan murid dan pembelajaran yang pasti berbeza. Selain itu , saya turut merasa ‘ amat malu ‘ hendak berjumpa rakan-rakan sekelas masa bersekolah di Madrasah Ubudiah Parit (6) dahulu, yang sekarang telah bersekolah di situ sejak tahun lalu serta belajar dalam kelas yang lebih tinggi pula ( Kelas Khas Agama Tahun (2) !.....

Saturday, October 20, 2007


1 . SEMUA BERMULA 20 OKTOBER 2007


Muqaddimah


Hari kelmarin saya dikunjungi oleh Guru Besar, Sekolah Rendah Agama Ehya Ul Falah, Sungai Besar, Ustaz Mohd. Ali bin Manjok. Kedatangan beliau bersama keluarga selain untuk ziarah Hari Raya, juga menyampaikan surat undangan ke Majlis Sambutan Hari Raya, anjuran guru dan bekas pelajar sekolahnya yang diadakan pada 20 Oktober 2007 ( Sabtu ) bermula jam 9.30 pagi.


Sebenarnya, sebelum itu saya sudah menerima satu surat jemputan yang sama . Saya tidak tahu siapa yang menghantarnya ke dalam peti surat di rumah. Walau bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Mohd.Ali kerana begitu prihatin, dengan menghantar sendiri surat jemputan seumpamanya. Saya juga memberikan ‘ janji ‘ akan hadir bersama dalam majlis tersebut.


Tujuan kehadiran saya selain ingin ‘ menjenguk ‘ kembali dan bertemu dengan para guru sekolah tempat saya pernah bertugas sebagai Guru Besar di sekolah itu , juga untuk bertemu wajah dengan kawan-kawan lama yang pernah sebumbung belajar di sekolah tersebut dalam tahun-tahun 60an dahulu. Terutama mereka yang bertugas di luar Daerah Sabak Bernam.


Jangkaan saya benar. Apabila saya hadir pada majlis diadakan, memang ramai kawan-kawan lama saya temui semula. Sebahagian turut hadir , memang saya tidak kenali mereka. Kerana mereka bersekolah selepas saya telah tamat belajar di situ. Namun ada di antara mereka telah sedia mengenali saya. lantaran waktu itu mungkin mereka baru masuk belajar dalam darjah satu atau darjah dua ketika saya belajar hampir tamat pada tahun 1966 !.


Memang banyak ‘ nostalgia ‘ bila berjumpa rakan-rakan lama !….


Selepas kembali ke rumah , maka tergerak hati saya untuk mengabadikan nostalgia yang pernah saya lalui untuk tatapan rakan-rakan, malah kepada siapa sahaja yang pernah sama-sama belajar di Madrasah Ehya Ul Falah ( Sekarang dikenali sebagai ‘ Sekolah Rendah Agama (SRA) Ehya Ul Falah, Sungai Besar ‘.


Saya berhasrat, selain memaparkan nostalgia peribadi sendiri di sekolah itu, saya ingin berkongsi sama dengan rakan-rakan lain untuk memaparkan nostalgia masing-masing pula di dalam ‘ blogs ‘ ini.


Kepada rakan-rakan yang berhasrat menyumbangkan nostalgaia mereka , bolehlah menghantarnya melalui email saya yang tertera atau kepada alamat disediakan. Jika ada gambar-gambar berkaitan juga dialu-alukan.


Cukup setakat itu untuk kali ini. Insya Allah apabila ada kesempatan saya akan muatkan nostalgia dimaksudkan, di samping maklumat semasa ( jika ada ) yang berkaitan dengan Sekolah Rendah Agama (SRA) Ehya Ul Falah, Sungai Besar.


Salam hormat dari saya:

Ustaz Haji Ab.Jalil Bin Embut.